KUANTAN – Syarikat Lynas Corp. Ltd. (Lynas) memberi jaminan mengitar semula residu daripada sisa penulenan air larut lesap (WLP) dalam tempoh lima tahun sebelum kilang bagi melupuskan sisa yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) siap dibina di Australia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze berkata, langkah itu dilakukan oleh syarikat memproses nadir bumi tersebut bagi memastikan tidak berlaku timbunan WLP di kilang miliknya di Gebeng dekat sini.
“Kitar semula merupakan langkah pertama yang kita akan lakukan dan langkah kedua menyediakan Pelupusan Tetap (PDF).
“Kerajaan negeri telah pun meluluskan tapak untuk PDF di negeri ini, bagaimanapun kita belum tahu lokasinya di mana,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan hari raya Lynas di Gebeng di sini hari ini.
Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.
Berhubung laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh ADUN Semambu, Lee Chean Chung semalam, Amanda berkata, dakwaan sedemikian bukan perkara baharu untuk syarikat itu.
“Kita sudah pun melalui proses Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Lynas juga telah membuktikan operasi kita berisko rendah dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











