KOTA BHARU – Luqman Fikri, 13, atau Luqman yang menghidap penyakit buah pinggang selamat menjalani pembedahan membuang cecair di bahagian tulang sendi punggungnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) petang semalam.
Ibunya, Yuraini Che Wani ,42, berkata, keadaan Luqman stabil dan memberi reaksi positif selepas anak ketiga daripada lima beradik itu menjalani pembedahan, kira-kira pukul 12 tengah hari, semalam.
“Pembedahan itu mengambil masa hampir lima jam sebelum Luqman keluar dari bilik pembedahan pada pukul 5 petang.
“Keadaannya sudah stabil dan perlu ditahan di wad untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Yuraini berkata, sekarang ini, Luqman terpaksa memakai wayar untuk mengeluarkan nanah dari tulang sendi punggungnya.
“Saya bersyukur apabila pembedahan sudah berjaya dilakukan.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan pembedahan ini serta mendoakan kesihatan Luqman pulih seperti sedia kala ,” katanya.
28 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin terpaksa menanggung derita selama 12 tahun akibat penyakit buah pinggang yang dihadapinya sejak kecil.
Anak ketiga dari lima beradik itu dikesan mengalami penyakit buah pinggang ketika berusia setahun lebih selepas dia menunjukkan tanda-tanda seperti kerap demam, berat badan naik, mata bengkak serta perut buncit.
Penyakit buah pinggang yang dihidapi Luqman kini sudah berada di tahap lima dan dia terpaksa berulang-alik ke hospital bagi menjalani proses mencuci darah tiga kali seminggu di Pusat Hemodialisis, HRPZ II. – UTUSAN ONLINE











