ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri komited dalam memelihara kepentingan Bumiputera sekali gus berusaha untuk memastikan tanah rizab Melayu terpelihara kerana ia penting dalam menjaga hak orang Melayu.
Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, mengikut rekod, sehingga April tahun ini, pertambahan keluasan tanah rizab Melayu sejak Pakatan Harapan (PH) meneraju kepimpinan Johor adalah seluas 230.24 hektar.
“Ini menjadikan luas jumlah keseluruhan keluasan Tanah Rizab Melayu adalah 557,518 hektar berbanding 557,287 hektar pada Disember 2018,” katanya menjawab soalan tambahan Muhamad Said Jonit (Amanah-Mahkota) berhubung jumlah tanah rizab Melayu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Dr. Sahruddin berkata, Kulai merupakan daerah yang mencatatkan peningkatan keluasan tanah rizab Melayu tertinggi, iaitu 75.64 hektar, diikuti Kota Tinggi (49.354 hektar) dan Pengerang (34.54 hektar).
Menurutnya, walaupun Johor merupakan pilihan pelabur dari dalam dan luar negara ke negeri ini tetapi kerajaan negeri sedar akan kepentingan untuk memelihara dan memastikan tanah rizab Melayu terus menjadi keutamaan. – UTUSAN ONLINE.











