PULAU PINANG – Pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengesan lokasi empat warga asing yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Lost Paradise Resort Tanjung Bungah, di sini kira-kira pukul 11.20 malam tadi.
Malah ketika ini juga, lokasi mayat salah seorang mangsa sudah berjaya dikesan dan usaha kini sedang giat dijalankan untuk mengeluarkan mangsa.
Difahamkan, mayat tiga lagi mangsa dipercayai berada berhampiran mayat pertama.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar empat pekerja asing warga Myanmar yang dikhuatiri maut itu dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja mengorek longkang sedalam 4.5 meter di kawasan berkenaan.
“Usaha mengeluarkan mayat akan di lakukan segera,” katanya di sini malam ini.
Saadon berkata, bomba juga telah menghantar pegawai pemeriksaan keselamatan untuk menilai keadaan tanah dan pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan jika keadaan cuaca baik dan sekiranya tidak berlaku pergerakan tanah,” katanya. -UTUSAN ONLINE











