Lima ‘budak bola’ Malaysia ke Jepun - Utusan Malaysia

Lima ‘budak bola’ Malaysia ke Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Lima pemain muda negara bakal menghirup udara Jepun apabila terpilih menjalani latihan bersama Akademi Cerezo Osaka di negara matahari terbit itu, Ogos ini.

Mereka adalah Raja Muhammad Haikarl Raja Muhammad Zahari dan Muhammad Danial Haiqal Mohd. Shaipol dari Akademi Mokhtar Dahari; Muhamad Afiq Norizan (Sekolah Sukan Negeri Melaka); Muhammad Farizzudin Adham Batcha (Sekolah Sukan Negeri Selangor) serta Anas Nadawi Shaharudin (Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi).

Kesemua mereka terpilih menjalani program tersebut selepas menjadi lima pemain terbaik dalam Projek Impian ASEAN 2019, yang dianjurkan kelab profesional Liga 1 Jepun, Cerezo bersama pengeluar minuman probiotik Yakult (M) Sdn. Bhd. dan stesyen televisyen Osaka bertempat di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program yang bertujuan untuk mencungkil bakat muda dalam arena arena bola sepak itu memasuki tahun kedua penganjurannya, di mana lima pemain pemain terbaik Malaysia akan dibawa ke Osaka bagi menjalani latihan di sana serta memberi peluang kepada remaja terlibat beraksi bersama 10 orang lagi pemain terbaik dari Thailand dan Myammar.

Seramai 120 orang pemain remaja yang berumur 15 tahun dari seluruh Malaysia telah hadir bagi menjalani sesi ujibakat yang di jalankan bagi program tersebut.

“Ada permintaan dari pemain Malaysia yang telah beraksi pada tahun lalu untuk program ini diadakan sekali lagi Kuala Lumpur.

“Saya berharap agar pemain yang telah tamat menjalani program ini, mereka akan dapat pergi lebih jauh.

“Mereka juga boleh beraksi di liga profesional Jepun memandangkan terdapa pencarari bakat yang sering memburu pemain dari Malaysia,” kata presiden Cerezo, Hiroaki Morishima.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult, Hiroshi Hamada melahirkan rasa gembira dengan penganjuran program itu sambil berharap ia dapat dimanfaatkan oleh remaja yang ingin menyertainya.

“Kami berasa amat gembira apabila dijemput Cerezo untuk menjayakan projek ini (Projek Impian ASEAN) sebagai penaja.

“Sambutan yang kami terima sangat menggalakan di mana seramai lebih daripada 120 orang telah memohon untuk menyertai program ini.

“Kami mendoakan agar setiap pemain ataupun remaja yang terlibat dalam program ini akan mencapai cita-cita mereka untuk mereka menjadi pemain professional pada masa hadapan.”

“Matlamat projek ini adalah selaras dengan visi dan misi Yakult Malaysia. Oleh yang demikian, kami amat menyokong program-program seumpama ini.

“Kami mengharapkan agar pemain yang terpilih nanti akan mendapat peluang untuk bermain di Liga Jepun selepas tamat program ini ataupun bermain untuk Cerezo ini sendiri” ujar Hamada.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini