Lepas tembakan, polis kenal pasti Proton Wira kelabu dinaiki suspek - Utusan Malaysia

Lepas tembakan, polis kenal pasti Proton Wira kelabu dinaiki suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Polis sudah mengenal pasti kereta Proton Wira kelabu yang dinaiki dua lelaki yang melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di pekan Kelapa Sawit dekat Kulai semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya sedang giat mengesan pemilik kenderaan itu bagi memastikan sama ada mereka terlibat dalam mana-mana kes jenayah.

“Perbuatan suspek memandu secara melulu membahayakan orang lain, selain tidak ikut arahan polis untuk berhenti, jadi kita terpaksa kejar mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, kita perlu dapatkan mereka untuk mengetahui penglibatan mereka dalam apa-apa kes jenayah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Media Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Semalam, tular video berdurasi kira-kira 10 saat membabitkan aksi polis mengejar suspek menaiki sebuah Proton Wira di lampu isyarat pekan Kelapa Sawit.

Turut kedengaran satu das tembakan di lepaskan ke arah kenderaan yang sedang memecut laju itu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian pada 8.50 pagi itu, sebuah kereta peronda polis (MPV) yang sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan berkenaan terserempak dengan kereta Proton Wira kelabu itu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Sri Putri, Kulai.

Menurutnya, anggota MPV berkenaan kemudian mengarahkan kenderaan tersebut berhenti, namun pemandu memecut dan pihaknya pula terpaksa mendapatkan bantuan sebuah lagi MPV akibat masalah teknikal.

Tambahnya, semasa sampai di lampu isyarat pekan Kelapa Sawit, kereta suspek mengancam anggota ronda Balai Polis Sawit yang sedang bertugas.

Beng Yeow berkata, anggota yang diancam suspek sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah kenderaan itu, bagaimanapun, suspek berjaya meloloskan diri dengan masuk ke dalam semak sehingga ke Taman Murni Jaya, Layang-Layang, Kluang.

“Usaha masih dilakukan bagi mengenal pasti suspek dan melancarkan gerakan memburu sehingga kedua-duanya ditangkap,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini