TAPAH – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan di Kilometer 2, Jalan Bidor-Teluk Intan berhampiran Taman Megah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10 malam itu, mangsa, S. Satiswaran, 28, mengalami kecederaan parah sebelum dia dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendatai mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga itu sedang dalam perjalanan menuju ke Bidor.
“Tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.
“Mangsa yang cedera parah kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah sebelum dia disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan pada pukul 10.22 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Wan Azharuddin, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa dilakukan di hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











