UBON RATCHATHANI – Seorang lelaki China ditahan selepas dipercayai cuba membunuh isterinya dengan menolak wanita itu dari atas bukit di daerah Kong Chiam, di sini, baru-baru ini.
Yu Xiaodong, 33, ditahan setelah isterinya, Wang Nan, 32, memberitahu polis tentang tindakan suaminya itu.
Nan yang mengandung tiga bulan mendedahkan dia tidak berpeluang menceritakan kejadian sebenar kerana kehadiran suaminya yang menemaninya sepanjang menerima rawatan di sebuah hospital di sini.
Dedah nya, suaminya mengancam akan membunuhnya jika dia menceritakan perkara sebenar kepada polis.
Pada sembilan Jun lalu, Nan ditemukan seorang warga tempatan dalam keadaan terbaring dengan kecederaan parah di salah satu laluan di Taman Negara Pha Team, dekat sini.
Beliau, dilaporkan jatuh dari ketinggian 34 meter sebuah bukit dan mengalami patah tulang paha kiri, tangan kiri, tulang pinggul dan beberapa kecederaan lain.
Polis menahan Xiaodong ketika melawat isterinya yang di rawat di sebuah hospital di daerah Muang semalam.
Polis mengesyaki cubaan bunuh itu didorong oleh keengganan wanita tersebut membayar hutang yang ditanggung suaminya.-AGENSI











