PASIR PUTEH – Seorang lelaki berusia 40an bengkak muka, cedera bahagian mulut dan retak tulang lengan kanan dipercayai dipukul dua lelaki selepas berlaku kemalangan dalam kesesakan lalu lintas di Kampung Air Tawar, Tok Bali, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.47 petang itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Marzuki dikatakan dipukul selepas kereta jenis Perodua Kancil miliknya dilanggar dari arah belakang.
Menurut sumber, sebelum itu kenderaan mangsa dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Proton Saga yang dipandu seorang lelaki.
“Mangsa bersama pemandu kereta itu keluar berbincang dalam keadaan baik dan lelaki yang melanggar kereta mangsa bersetuju untuk membayar RM400 diatas kerosakan yang berlaku.
“Sejurus selepas itu, datang beberapa ahli keluarga lelaki terbabit memarahi mangsa sebelum dua lelaki yang menaiki Honda Jazz bernombor pendaftaran Thailand memukul dan menumbuk di bahagian mulut serta menendang lengan mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan diri selepas ada beberapa lagi lelaki yang datang menghampirinya.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut selepas mendapat rawatan sebagai pesakit luar di klinik berdekatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan mereka yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE











