Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sekali lagi dilihat mendahului bosnya, Dr. Maszlee Malik dalam mengutarakan cadangan-cadangan kepada rakyat berkaitan pendidikan negara kita.
Terbaharu, Nie Ching membuat pengumuman bahawa Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) telah ditubuhkan untuk mengkaji pelbagai aspek mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan dan menjemput individu, kumpulan dan institusi tanpa mengira agama untuk mengemukakan cadangan.
Pertama, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia melihat cadangan untuk menjemput sesiapa sahaja tanpa mengira agama bakal mencetuskan kecelaruan dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi kecelaruan di kalangan guru-guru dan anak-anak di sekolah.
Seharusnya jemputan tersebut ditujukan kepada golongan yang arif dengan agama Islam dan golongan pendidik beragama Islam, yang sememangnya mengamalkan ajaran Islam di dalam kehidupan seharian.
Sebagai contoh, bagaimanakah seorang individu beragama Kristian, Hindu, Buddha atau Athiest boleh memberikan cadangan membina untuk menambah baik mata pelajaran Pendidikan Islam seperti ibadat Islam solat, puasa, zakat, dan haji jika mereka tidak pernah melakukan ibadat tersebut?
Kedua, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menggesa Menteri Pendidikan untuk bersikap lebih proaktif berkaitan hal pendidikan negara dan berkomunikasi dengan Timbalan Menteri beliau.
Sepanjang tempoh lebih setahun Pakatan Harapan memerintah negara, kita melihat Timbalan Menteri tanpa segan silu melangkaui kenyataan atau keputusan bos sendiri, Menteri Pendidikan.
Akibatnya, banyak kenyataan pusingan-U atau ‘u-turn’ dibuat oleh Menteri untuk memperbetulkan kenyataan.
Ketiga, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menggesa seluruh rakyat Malaysia beragama Islam, terutama golongan yang arif dengan ilmu agama Islam, seperti mufti dan alim ulama untuk memberikan nasihat dan pandangan terus kepada Menteri Pendidikan demi mengelakkan agama Islam diperkotak-katikkan sejak awal pembelajaran Pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah.
Demi Bangsa Malaysia!
Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.











