Lebih 8,000 terima Kad Sihat Johor - Utusan Malaysia

Lebih 8,000 terima Kad Sihat Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG – Kerajaan Johor sudah mengedarkan lebih 8,000 daripada 14,000 Kad Sihat Johor kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan di 248 klinik panel berdaftar di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berharap, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menyerahkan kad tersebut kepada penerima yang masih belum mendapatkannya bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan di klinik panel.

“Kita harap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan rawatan kesihatan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Rumah Terbuka ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh di Taman Bukit Dahlia di sini malam tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara yang turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat dan ADUN Larkin, Ir. Mohd. Izhar Ahmad.

Kad Sihat Johor merupakan kad kesihatan eksklusif bernilai RM800 setahun diberikan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai had maksimum 250 pemohon yang ditawarkan mengikut kategori keluarga atau individu.

Bagi keluarga, setiap kad bernilai RM500 setahun manakala individu hadnya sehingga RM200 membabitkan penggunaan sehingga RM50 bagi setiap sesi rawatan di 248 klinik panel di negeri ini.

Pemberian kad tersebut yang merupakan satu daripada janji Pakatan Harapan (PH) yang ditunaikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14, pemohon boleh memuat turun borang Kad Sihat Johor secara atas talian menerusi www.sihatjohor.com.my sebelum diserahkan secara manual ke Pejabat DUN masing-masing untuk diproses. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini