PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan mengadakan Lawatan Khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 12 hingga 14 Jun ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Seri Paduka Baginda akan diiringi oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya serta pegawai kanan kerajaan dan Istana Negara.
Jelasnya, semasa Lawatan Khas tersebut, Seri Paduka Baginda dijadualkan bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan serta pemimpin-pemimpin UAE yang lain.
Seri Paduka Baginda juga berkenan untuk bertemu dengan komuniti rakyat Malaysia di UAE.
“Lawatan Khas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini melambangkan keakraban hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara.
“ Lawatan Khas ini juga akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi persahabatan antara Malaysia dan UAE,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











