Langkawi ‘gedung bebas’ dadah? - Utusan Malaysia

Langkawi ‘gedung bebas’ dadah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jun – Itu senario yang digambarkan berlaku di Pulau Langkawi, Kedah ketika ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mendedahkan, jika masalah lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segera, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti.

Menurutnya, perkara tersebut juga telah disuarakan secara peribadi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang begitu bimbang ancaman kegiatan dadah ini yang dilihat seolah-olah tidak terkawal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perdana Menteri sendiri memberikan contoh di Pulau Langkawi, yang membayangkan seolah-olah tidak ada langsung kawalan oleh pihak polis di sana.

“Dadah bebas dibawa keluar masuk tidak kira apa jenis sekalipun seperti ketamin dan syabu. Bukan itu sahaja, pantai Langkawi itu seperti pulau antarabangsa yang bebas dimasuki sesiapa sahaja tanpa ada satu bentuk kawalan yang drastik daripada pihak penguat kuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid memberitahu, mengambil kira arahan tersebut, bukan sahaja di Langkawi malah untuk seluruh negara, pihaknya akan mencari kaedah lebih tepat untuk mengurangkan ancaman ini.

Jelasnya, dalam waktu sama, pelbagai kejayaan telah dicapai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam usaha untuk menangani ancaman tersebut termasuk menangkap, merampas dan menyita harta-harta milik sindiket pengedaran dadah yang ditahan.

“Namun, kadang kala kita terlupa bahawa kita nampak dia punya ancaman itu tetapi kita tidak boleh ‘quantify’ (menyukat) ancaman tersebut kerana dadah ini begitu mudah diperoleh malah warga PDRM sendiri terdedah.

“Ramai anggota polis yang tertangkap dengan pelbagai jenis dadah dan saya rasa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sendiri ada statistik berapa ramai warga PDRM terlibat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini