KUALA LUMPUR – Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) telahpun menggerakkan langkah dalam usaha meraih kecemerlangan pada Sukan Olimpik 2024 di Paris dengan barisan atlet muda bakal menjadi sandaran badan induk itu.
Presiden MGF, Rachel Lau berkata, ketika ini, mereka sudah mempunyai beberapa atlet muda yang dilihat berpotensi menyerlah dalam Sukan Olimpik 2024 antaranya ialah Iman Alisha Fakhri Yassin, Izzah Azman dan Rayna Hoh.
Menurut Rachel, kesemua atlet berkenaan berusia dalam lingkungan 14 hingga 15 tahun dan mereka akan diberikan pendedahan termasuk menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.
“Biarpun sedar untuk mendapatkan pingat dalam Sukan Olimpik amat sukar, namun, kita tetap mengharap atlet-atlet muda ini berupaya melakukannya. Jika layak secara meritpun itu sudah dianggap sebagai satu pencapaian baik buat mereka.
“Perancangan kami kepada mereka ini adalah akan dihantar menyertai pertandingan di Rusia dan menyertai Kejohanan Remaja Dunia, selain, terlibat dalam kem latihan di luar negara. Ini semua bagi membiasakan mereka beraksi dengan tekanan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Rachel yang dipilih sebagai presiden baharu MGF bagi penggal 2019/21 dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu, Februari lalu, turut meletakkan sasaran mahu memperkasakan jurulatih-jurulatih tempatan. – UTUSAN ONLINE











