Lang Merah bawa bekalan tipis - Utusan Malaysia

Lang Merah bawa bekalan tipis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kedah membawa bekalan tipis apabila bertandang ke Jengka minggu depan selepas sekadar mencatat kemenangan 1-0 ke atas Felda United dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Malah, turun dengan reputasi sebagai juara empat kali dan pilihan perlawanan, Lang Merah bagaimanapun terpaksa menunggu sepakan penalti Fernando Rodriguez pada minit ke-69 untuk melakar kemenangan.

Beraksi di depan lebih 7,000 penyokong setia tuan rumah, permainan babak pertama jelas memperlihat penguasaan Kedah yang melakukan serangan bertali arus ke kubu skuad The Fighters.

Memuatkan artikel berkaitan…

Buruan gol Lang Merah bermula seawal minit kelima ketika penyerang, Jonathan Bauman melayangkan badan untuk menanduk hantaran lintang Zaquan Adha Abd. Razak, namun ketangkasan penjaga gol Felda, Norazlan Razali mematahkan percubaan itu.

Pada minit ke-16, pemain import baharu Kedah, Edgar Bernhardt nyaris meletakkan tuan rumah di hadapan, namun tendangan deras dari luar kotak hanya singgah di kiri gawang Felda United.

Norazlan sekali lagi muncul penyelamat The Fighters apabila berjaya menepis tandukan Bauman pada minit ke-31, selain sepakan percuma kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-50 diikuti tendangan Bernhardt, 15 minit kemudian.

Rodriguez akhirnya muncul penyelamat Kedah apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas pertahanan mereka, Renan Alves dijatuhkan dalam kotak penalti lawan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dengan Kedah akan berkunjung ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad depan untuk melengkapkan 90 minit lagi aksi separuh akhir kedua. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini