ARAU – Tidak ada apa yang istimewa bagi sesetengah mereka yang memelihara landak.
Namun bagi lima ekor landak yang dipelihara oleh seorang pesara kerajaan, Khalid Ahmad,65, dari RPA Arau di sini, ia cukup unik kerana haiwan itu gemar menikmati makanan seperti seperti roti canai, capati dan nasi berlauk.
Lazimnya, haiwan berkenaan hanya makan buah-buahan, tumbuh-tumbuhan dan daging.
Kata Khalid yang lebih mesra dipanggil Pak Lid, setiap pagi, dia memberi makan sekeping roti canai kepada setiap ekor landak tersebut.
Katanya, landak tersebut mula ‘ketagih’ makan roti canai sejak dua tahun lalu iaitu selepas setahun dia memelihara haiwan berkenaan.
“Jika terlambat beri makan, haiwan seberat tiga hingga lima kilogram itu akan merajuk dan saya akan memujuknya dengan memberi makan sengkuang atau labu.
“Saya sekadar mencuba memberi makan roti canai namun tidak sangka landak itu suka. Sekarang ini, pada sebelah pagi makan roti canai, petang pun roti canai. Kadang-kadang saya beri makan capati dan apa makanan yang saya makan seperti nasi berlauk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Tambahnya, landak yang dipelihara sejak kecil itu didapati daripada seorang pemotong kayu balak di Gerik, Perak.
“Saya memelihara landak kerana minat yang mendalam terhadap haiwan berkenaan dan akan menambahkan lagi bilangan haiwan itu daripada semasa ke semasa,” katanya yang memaklumkan telah mengambil lesen memelihara haiwan itu. – UTUSAN ONLINE











