Laman sosial bukan tempat tunjuk bahagia - Utusan Malaysia

Laman sosial bukan tempat tunjuk bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELETAKKAN kematangan dalam mencari kebahagiaan berumah tangga, kongsi Hazama, dia tidak pernah menggunakan laman sosial sebagai wadah untuk menggambarkan keadaan perkahwinannya.

Jelasnya, dalam menge–mudi kehidupan yang lebih indah bersama isterinya Genervie Kam, dia lebih senang bersikap profesional memandangkan isterinya turut berada dalam lapangan kerjaya yang sama.

“Saya hanya akan kongsi gambar bersama isteri apabila ada hari penting sahaja, contohnya hari ulang tahun perkahwinan atau sambutan hari raya. Bagi saya tidak perlu saya fikirkan apa pendapat mereka di luar sana sehingga memerlukan saya berkongsi kebahagiaan dalam laman sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika ini saya dan isteri juga mempunyai laman sosial masing-masing, semua orang juga kenal siapa Genervie. Kami lebih senang untuk bersikap profesional sahaja,” katanya jujur.

Tidak menolak semakin sibuk dengan tawaran lakonan dan nyanyian, namun kongsi Hazama, 35, dia tidak pernah mengorbankan waktu bersama isteri. Walaupun sukar untuk mencari waktu bersama, namun itu bukan bermakna mereka perlu selalu berjauhan.

“Memang tidak dinafikan kalau saya ambil tawaran berlakon memang akan jarang berada di rumah. Tetapi isteri akan ambil peluang untuk bertemu saya di set penggambaran.

“Bagi saya dan isteri, meluangkan masa itu penting dalam kehidupan berumah tangga. Jadi walau sibuk pun perlu cari ruang seboleh mungkin,” katanya.

Sering ditanya soalan yang sama berkenaan zuriat, tegas Hazama, dalam keadaan sekarang dia tidak nafikan agak tertekan dengan keadaan itu.

Jelasnya, sebagai seorang yang memang mahukan anak sebagai penyeri keluarga, namun dalam masa sama yakin ada sebab untuk dia dan isteri masih menanti kehadiran insan kecil itu.

“Memang kami berusaha, kadang bila sering ditanya saya akui berasa tertekan sebab yang bertanya itu bagaikan tidak memahami soal anak, jodoh dan maut bukan manusia yang tentukan.

“Tetapi jujurnya saya dan isteri sebenarnya sangat berlapang dada soal ini. Maknanya kami yakin mungkin bukan waktu yang sesuai lagi untuk kami menjadi ibu bapa. Kita tidak pernah tahu perancangan Allah. Saya hanya mahu bersyukur,” kongsinya.

Baru sahaja melancarkan video muzik lagu Peneman baru-baru ini, kongsi Hazama, walaupun lagu itu sudah lama menemui pendengar, namun dia yakin muzik video ini mempunyai kelebihannya sendiri.

“Lagu Peneman merupakan runut bunyi untuk drama Asalkan Dia Bahagia yang disiarkan April lalu. Walaupun ada yang kata agak lewat untuk muzik video ini, namun saya lebih yakin dengan pilihan pendengar.

“Muzik video ini juga mempunyai penceritaan. Ada bezanya dengan muzik video saya sebelum ini.

“Ia berkisar mengenai pasangan kekasih yang juga pencuri lukisan. Bagi saya muzik video ini lebih mudah difahami dan dalam masa sama boleh dikaitkan dengan kehidupan mereka di luar sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×