SELEPAS pelbagai spekulasi dan teka teki akhirnya jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya pada usia 37 tahun dengan menegaskan dia perlu mengutamakan kesihatannya.
Umum mengetahui Chong Wei terpaksa mengambil keputusan berat ini setelah disahkan mengidap kanser hidung dan selepas mendapatkan nasihat dari pegawai perubatan.
Hakikatnya ia suatu kehilangan sangat besar kepada negara kerana hingga ke saat ini kita masih belum mampu melahirkan pelapis yang boleh menggantikan tempat Chong Wei.
Walaupun beberapa orang pemain muda cuba menunjukkan kehebatan namun belum ada yang dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Chong Wei ini.
Selama 19 tahun kita begitu berbangga apabila Jalur Gemilang berkibar megah dan lagu Negaraku dikumandangkan di seluruh pelosok dunia apabila Chong Wei menjuarai satu demi satu kejohanan utama dunia. Ternyata Chong Wei tidak pernah mengecewakan peminat badminton dan rakyat Malaysia.
Walaupun tidak berpeluang menyumbang Pingat Emas Sukan Olimpik yang begitu kita idamkan namun kesungguhan dan semangat juang tinggi yang dipertontonkan oleh Chong Wei di tiga edisi Sukan Olimpik tidak mungkin kita dapat lupakan begitu sahaja.
Antara sikap Chong Wei yang sangat menarik perhatian kita ialah semangat juang yang sangat tinggi serta tidak mudah putus asa mahupun patah semangat.
Dalam setiap kejohanan yang disertai, beliau mempemerkan semangat yang cukup tinggi dan memberi tentangan sengit kalau kalah sekalipun. Sikap terpuji dan semangat kesukanan yang tinggi itulah yang sentiasa memukau hati semua penonton yang menyaksikan permainannya.
Penulis percaya agak sukar untuk kita melahirkan seorang pemain yang memiliki ciri dan sikap seperti ini dalam masa yang terdekat.
Realitinya bukan Chong Wei yang patut sebak dan mengalirkan air mata ketika mengumumkan persaraan sebaliknya seluruh peminat badminton, malah seluruh rakyat Malaysia yang sepatutnya tangisi pengumuman ini kerana kita kehilangan ikon dan permata yang menyinari sukan tanah air serta sentiasa membanggakan negara selama ini.
Untuk itu kita harap pihak Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan dapat melantik Chong Wei sebagai ikon perpaduan yang mampu menyuntik semangat kepada anak-anak muda negara ini.
Berilah ruang kepada Chong Wei untuk menjelajah ke seluruh negara berkongsi pengalaman dan memberikan inspirasi kepada semua.
Dan besarlah harapan kita agar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan lebih agresif untuk melahirkan pengganti Chong Wei.
Akuilah kelemahan yang ada serta kegagalan kmelahirkan pelapis yang boleh dibanggakan seperti yang dapat dibuat oleh negara luar terutamanya China, Jepun dan Indonesia.
Bertindaklah dengan segera sebelum kita semakin jauh ketinggalan. Beri perhatian kepada pelan jangka panjang supaya kita mampu melahirkan sekurang-kurangnya seorang lagi Chong Wei yang mampu mewarnai dunia badminton negara untuk tempoh 20 tahun yang akan datang.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat Dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).











