KUANTAN – Kabinet meluluskan cadangan untuk menaik taraf bandar ini sebagai sebuah bandar raya.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah menerima surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung kelulusan tersebut.
“Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak juga telah menerima surat berkenaan. Kita akan buat persediaan ke arah bandar raya Kuantan.
“Perkara ini tidak boleh terjadi dalam masa yang singkat kerana banyak perkara yang perlu dipatuhi, diikuti dan memenuhi syarat-syarat tertentu. Beberapa siri perbincangan antara Majlis Perbandaran Kuantan, kerajaan negeri dan Persekutuan juga perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan merasmikan Kem Nemo di De Rhu Beach Resort di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











