JOHOR BAHRU – Kualiti udara di kawasan 16 sekolah yang diarahkan ditutup di Pasir Gudang pada hari ini berikutan pencemaran udara adalah normal berdasarkan pemantauan berterusan dilakukan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.
Pengarah JAS negeri, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pengukuran kualiti udara dilakukan di kawasan sekolah pada jarak radius kira-kira 1.5 kilometer.
“Puncanya masih belum diketahui. Namun JAS masih meneruskan siasatan dan pemeriksaan terhadap punca-punca kilang yang berpotensi menyebabkan pelepasan pencemaran udara.
“Selain daripada itu, kami juga menyiasat sekiranya berlaku sebarang pelupusan haram di sekitar kawasan berdekatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini malam ini.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor hari ini mengarahkan 16 buah sekolah di Pasir Gudang itu ditutup akibat pencemaran udara yang terus merebak.
Perkembangan itu menjejaskan seramai 20,108 pelajar dan langkah tersebut bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas selain sebagai langkah keselamatan awal bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa pencemaran udara.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang Khamis lalu, 15 murid dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 di Pasir Gudang dan dua orang dewasa muntah-muntah dan mengalami sakit tekak akibat pencemaran udara.
Sebahagian daripada mangsa tersebut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk mendapatkan rawatan segera.
Kejadian tersebut berlaku selepas kira-kira tiga bulan setengah insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang berlaku yang mengakibatkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup dan kira-kira 6,000 penduduk terjejas. – UTUSAN ONLINE











