KUALA LUMPUR 26 Jun – Universiti Malaya yang melonjak kedudukannya ke-70 penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020 baru-baru ini menyasarkan kelompok 50 dunia pada tahun 2025.
Sambil melontarkan penghargaan kepada komitmen staf yang tinggi antara resipi utama kejayaan UM, Naib Canselornya, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim berkata, sasaran awal menerobos benteng 100 universiti terbaik dunia itu adalah hasil daripada Pelan Transformasi UM 2006-2020.
“Komitmen staf begitu tinggi dalam memberi hasil terbaik dalam apa jua tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan.
“Sebagai contoh, penghasilan graduan berkualiti melalui proses pembelajaran dapat meningkatkan reputasi majikan (employer reputation).
“Penerbitan kertas penyelidikan yang berkualiti turut menyumbang kepada peningkatan bilangan sitasi apabila hasil kerja tersebut dipetik atau ‘cited’ oleh penyelidik lain dari seluruh dunia. Reputasi majikan dan bilangan sitasi adalah antara kriteria yang dinilai dalam penarafan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Dr. Abdul Rahim berkata, pembangunan mahasiswa secara menyeluruh akan terus menjadi agenda utama pihaknya.
UM, kata beliau, akan memperkemas dan memperkasakan lagi usaha bagi memastikan para graduan bukan sahaja memiliki kekuatan dan kebijaksanaan dari segi akademik tetapi juga diterap dan diasuh dengan nilai-nilai penting lain seperti tangkas berfikir, bijak menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan dan situasi.
“Mereka juga harus mampu menyelesaikan masalah dengan secara kreatif dan kritikal, ingin belajar dan memperbaharui dan memperkemaskan diri dengan ilmu sepanjang hayat dan pelbagai kualiti lain agar mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi dan memainkan peranan yang dinamik terhadap dunia pekerjaan dan industri.
“Dan lantaran itu akan menjadi rebutan dan pilihan utama majikan di luar sana.
“UM juga amat menekankan akan perlunya graduan kami disediakan untuk menghadapi dunia pekerjaan hari esokatau dalam erti kata lain, ready for the job of the future. Oleh kerana itu, program-program kami akan dimantapkan lagi agar bersifat ‘multi-disciplined’ dan bukan hanya ‘single disciplined’,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE











