KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menyifatkan badan induk kebangsaan itu memerlukan angin perubahan kepemimpinan dalam mesyuarat agung pemilihan penggal 2019-2021, Ahad ini.
KOM katanya, wajar memberi peluang kepada Datuk SM Muthu untuk meniupkan angin tersebut apabila mencabar Presiden sekarang, Datuk Karim Ibrahim dalam pemilihan itu walaupun Timbalan Presiden berkenaan turut dianggap sudah agak veteran.
“Satu perubahan dalam kepemimpinan KOM mesti ada. Seorang muka baharu, walaupun Muthu orang lama, berilah peluang kepadanya (sebagai Presiden baharu KOM).
“Dia boleh menerima pandangan malah bekerjasama dengan ahli-ahli gabungan negeri agar pembangunan olahraga negara dapat dipulihkan semula,” katanya yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan di sini hari ini.
Beliau ditemui pada program ziarah legenda bola sepak negeri, Zapril Hashim bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Khairuddin Othman.
Zaprildipotong tiga jari kakinya kerana menghidap penyakit kencing manis pada 25 Mei lalu.
Karim pernah dicabar sekali sebagai Presiden KOM namun menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh dari Terengganu, 33 berbalas lapan undi pada 1 November 2014 bagi pemilihan penggal 2014-2016 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Tegas Noorul, angin perubahan itu juga perlu memandangkan sasaran dan pencapaian skuad negara yang semakin merosot dalam Sukan SEA iaitu daripada 16 atau 18 pingat emas kepada hanya empat atau lapan.
“Perkembangan ilni bercanggah dengan pandangan orang luar bahawa emas Sukan SEA kita patut lebih banyak. Ke mana juga perginya acara padang dan acara trek jarak pertengahan yang kita kuasai dulu?
“Kalau tidak ubah, maka KOM tidak akan dapat satu pencapaian tinggi. Kepada ahli gabungan yang memilih nanti, pilihlah pemimpin yang berkaliber dan mempunyai cara penyampaian yang lembut untuk menarik penyertaan ramai anak muda dalam olahraga.
“Kita tidak mahu olahraga kita makin lama makin pudar,” katanya yang menyandang jawatan Naib Presiden KOM mulai 2014 tetapi meletakkan jawatan tiga tahun kemudian kerana tidak dapat bekerjasama dengan pucuk pimpinannya. – UTUSAN ONLINE











