KUALA LUMPUR – Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berakhir pada 13 Jun lalu telah menerima sebanyak 34,469 maklum balas beserta idea-idea baharu kepada agensi tersebut.
Menurut Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, orang ramai telah diberi peluang selama empat minggu untuk mempertimbang dan memberi pendapat masing-masing mengenai mekanisme baharu bayaran balik pinjaman dan langkah untuk menjamin kelangsungan PTPTN agar dapat meneruskan pembiayaan kepada pelajar lain.
Jelas beliau, langkah melibatkan rakyat dalam proses penggubalan dasar merupakan langkah yang wajar.
“Kejayaan kertas konsultasi rakyat ini membuktikan ketersediaan rakyat untuk melihat kerajaan dan pembuat dasar mempraktikkan pendekatan inklusif dengan melibatkan orang ramai dalam proses membuat keputusan termasuk isu-isu mencabar.
“Saya mewakili lembaga pengurusan, pihak pengurusan dan kakitangan PTPTN mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah membantu kami untuk mengorak langkah ke hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
KKR yang mula dilaksanakan selama tiga bulan sehingga 13 Jun lalu itu dilaksanakan dalam bentuk kajian dalam talian menerusi halaman bagi membolehkan orang ramai diberikan maklumat lengkap, telus dan terbuka bagi menggalakkan maklum balas yang bermaklumat dan membina. – UTUSAN ONLINE











