KUALA LUMPUR 23 Jun – Kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikenakan tindakan tatatertib di atas pelbagai kesalahan yang dilakukan dalam tempoh empat tahun bermula 2015 hingga tahun lalu.
“Dalam tempoh empat tahun sejak 2015 hingga 2018 sebanyak 9,299 kesalahan melibatkan jenayah seperti merompak, mencuri, peras ugut dan sebagainya telah dilakukan oleh anggota dan pegawai polis.
“Kesalahan rasuah pula dalam tempoh itu ialah melibatkan sebanyak 556 orang manakala kesalahan syariah khalwat ialah 172 orang dan dadah 893 orang,” kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia dalam satu wawancara khas yang disiarkan hari ini, Zamri menegaskan pihaknya memandang serius isu melibatkan integriti pasukan polis dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat.
“Jika kita dapati keadaan ini berterusan dan mereka ini terus enggan berubah dan masih menjalankan kegiatan yang bertentangan dengan etika polis seperti terlibat dengan aktiviti rasuah, merompak dan sebagainya maka mereka terpaksa dibuang kerja sebagai langkah akhir.
“Ini kerana kalau kita gagal tangani isu disiplin kita akan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Wawancara penuh bersama Zamri boleh diikuti dalam Mingguan Malaysia hari ini. – UTUSAN ONLINE











