YAN – Berselindung di sebalik kilang plastik, sebuah gudang haram di Guar Chempedak, di sini diserbu penguat kuasa selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menjual semula baja subsidi yang diperoleh daripada petani dalam Op Tabur yang dilakukan, hari ini.
Modus operandinya adalah dengan membeli baja kimia tersebut yang berkapasiti 25 kilogram (kg) pada harga antara RM10 ke RM15 sekampit sebelum membungkus semula dalam kampit seberat 50kg untuk dijual pada harga lebih RM100.
Berdasarkan siasatan awal, baja-baja itu dijual ke seluruh negara dengan pengusahanya memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.
Malah, ia bukan kali pertama pihak tidak bertanggungjawab itu terbabit dalam kegiatan berkenaan kerana sebuah kilangnya di lokasi berdekatan, sebelum ini pernah diserbu penguat kuasa tahun lalu yang membabitkan rampasan bernilai kira-kira RM3 juta.
Kali ini, dalam serbuan diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sebanyak 96,000kg baja itu berjaya dirampas.
Rampasan tersebut dianggarkan mencecah RM250,000 termasuk baja berjenama lain dan sebuah treler yang dalam proses untuk menghantar bekalan berkenaan ke pasaran.
Kes disiasat dibawah Peraturan 3(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran dan Seksyen 20 akta sama kerana mengalih barang kawalan.
Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang dipercayai pemilik gudang tersebut turut ditahan untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Difahamkan, kilang itu juga tidak memiliki lesen pemborong dan beroperasi tanpa mengira masa terutamanya selepas memperoleh baja subsidi daripada para petani.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman mengesahkan kes tersebut.
Dalam pada itu, Jabatan Imigresen yang turut menyertai operasi tersebut menahan empat lelaki warga Pakistan berusia antara 18 hingga 27 tahun yang bekerja di kilang membungkus baja itu kerana melanggar syarat permit. – UTUSAN ONLINE











