JOHOR BAHRU – Kesedaran peniaga dalam mempamer tanda harga mengikut peraturan ditetapkan masih lemah walaupun bulan Ramadan sudah menghampiri penghujungnya.
Tinjauan di Pasar Awam Larkin Sentral mendapati masih terdapat segelintir peniaga yang gagal mempamer tanda harga.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. S. Ramakrishnan berkata, aspek tersebut perlu diberi perhatian oleh peniaga.
“Tanda harga penting bagi melindungi pembeli dimana harga yang dijual adalah jelas dan tetap, sama ada ia melibatkan barangan kawalan ataupun tidak.
“Peniaga perlu maklum tanda harga barangan kawalan perlu dipamer menggunakan warna merah jambu, ia bagi membezakan kedua-dua barangan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Operasi Pemantauan Harga Sempena Sambutan Aidilfitri yang di Pasar Awam Larkin Sentral, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











