Kesedaran isi borang balik kampung meningkat, Polis Perak terima 2,651 laporan - Utusan Malaysia

Kesedaran isi borang balik kampung meningkat, Polis Perak terima 2,651 laporan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Polis Perak menerima sebanyak 2,651 laporan balik kampung daripada orang ramai yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Aidilfitri sejak 30 Mei lalu.

RAZARUDIN HUSAIN

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,350 laporan diterima menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), hotline 999 dengan 41 laporan dan 1,260 laporan pula melalui borang balik kampung yang diisi di balai polis berhampiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, jumlah yang direkodkan itu menjadikan bilangan laporan yang diterima pihak polis pada Op Selamat 15/2019 kali ini meningkat sebanyak 920 laporan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,731 laporan.

“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 6,207 rondaan dilakukan di rumah dan premis di negeri ini dengan 1,721 rondaan melibatkan kereta peronda (MPV), 1,428 rondaan oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB), 2,293 rondaan elemen balai dan 765 bagi lain-lain rondaan.

“Kita juga tidak menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah di mana pemiliknya telah membuat laporan balik kampung kepada pihak polis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Razarudin, peningkatan jumlah laporan balik kampung yang diterima pada tahun ini berbanding sasaran asal sebanyak 1,870 laporan menunjukkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kepentingan memaklumkan kepada pihak polis tentang ketiadaan mereka di rumah.

Malah katanya, kesedaran itu juga dibantu oleh pelbagai kempen yang dijalankan di semua platform termasuk di media sosial.

“Jumlah laporan yang meningkat ini bukan sahaja menunjukkan kepercayaan orang ramai terhadap pihak polis itu masih wujud, malah membuka mata tentang pentingnya memaklumkan ketiadaan mereka kepada pihak polis.

“Bagi pihak polis sendiri, kepentingan dalam aspek keselamatan semasa perjalanan berhari raya dan menjaga harta benda adalah perkara utama selain menyasarkan agar kesedaran ini akan terus meningkat pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang Op Selamat 15 itu juga, pihaknya menerima banyak komen positif daripada orang ramai yang berterima kasih atas rondaan yang dilakukan pihak polis di kediaman mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini