KUALA LUMPUR 23 Jun – Jumlah rampasan mercun dan bunga api di kawasan sempadan negara Malaysia dan Thailand berkurangan sebanyak 10 kali ganda dalam tenpoh enam bulan pertama pada tahun ini termasuk pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kalau mengikut trend sebelum-sebelum ini, mercun dan bunga api menjadi barang yang selalu diseludup masuk melalui sempadan negara tetapi tahun ini kita nampak trend ini sudah berubah, tidak banyak mercun dan bunga api yang diseludup.
“Kalau ikut statistik, sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu nilai mercun dan bunga api yang dirampas ialah RM900,000 tetapi tahun ini dalam tempoh sama hanya rampasan bernilai RM90,000 dibuat,” kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia dalam satu wawancara khas yang disiarkan hari ini, Shaharuddin berkata, kejayaan mengekang lebih banyak mercun dan bunga api daripada diseludup masuk terutamanya ketika musim perayaan disebabkan kawalan keselamatan yang lebih ketat terutamanya di kawasan panas.
“Kes kemasukan mercun ke dalam negara agak berkurangan disebabkan kawalan ketat yang dilakukan di pintu-pintu masuk dan kawasan-kawasan panas.
“Sebagai contoh di Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam dan sebuah kawasan pembalakan berhampiran Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dikenal pasti sebagai kawasan panas antara lokasi menjadi tumpuan utama operasi kita,” ujarnya.
Wawancara penuh bersama Shaharuddin boleh diikuti dalam Mingguan Malaysia hari ini. – UTUSAN ONLINE











