Kes pembuangan bayi serius - TPM - Utusan Malaysia

Kes pembuangan bayi serius – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Kes pembuangan bayi merupakan satu isu yang serius dan harus ditangani dengan kadar segera, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, statistik pembuangan bayi daripada pihak polis merekodkan 577 kes bagi tahun 2014 sehingga 2018.

Menurut beliau, salah satu punca pembuangan bayi adalah kehamilan luar nikah dan kehamilan remaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kementerian mengambil langkah proaktif dengan merangka strategi advokasi, pencegahan serta menjalankan program kesedaran awam khusus kepada golongan remaja mengenai kesihatan reproduktif mereka.

“Kementerian dalam usaha untuk melaksanakan pemetaan lokaliti dan campur tangan strategik bagi kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas kes pembuangan bayi melalui kerjasama dengan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Mencegah Pembuangan Bayi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Program kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Plus Malaysia Berhad (PLUS) itu merangkumi inisiatif menampal pelekat di pintu tandas di 22 kawasan R&R PLUS seluruh negara.

Mengulas lanjut, Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menasihatkan golongan remaja atau wanita terlanjur dan tidak tahu apa langkah yang patut dilakukan supaya menghubungi Talian Kasih 15999.

Kata beliau, golongan itu perlu mendapatkan bantuan segera dan tidak mengambil tindakan melulu yang akan membahayakan nyawa mereka serta bayi lebih-lebih lagi kementerian mempunyai kaunselor yang bertauliah dalam mengendalikan kes-kes sedemikian.

Dalam pada itu, Hannah ketika ditemui pemberita berkata, inisiatif di R&R PLUS itu merupakan cara baharu menyampaikan mesej kepada kira-kira 1.6 juta pengguna harian kawasan tersebut seluruh negara.

Kata beliau, pihak kementerian juga sedang berbincang dengan pihak berkaitan dalam usaha menyebar luas insiatif berkenaan di perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) selain lapangan-lapangan terbang.

Jelasnya, kawasan tertinggi berlaku kes pembuangan bayi dalam tempoh 2010 hingga 2018 adalah di kawasan perumahan dengan 266 kes, tandas (108) dan tempat pembuangan sampah (89).

Pada 2010 sehingga 2018 tambahnya, negeri tertinggi kes pembuangan bayi adalah di Selangor ekoran populasi penduduknya ramai, diikuti Sabah dan Johor.

Sementara itu, beliau memberitahu, pada Januari hingga Mei lalu, kes pembuangan bayi direkodkan sebanyak 65 kes dengan Johor sebanyak 13 kes, Selangor (11) dan Kuala Lumpur (tujuh).

“Majoriti bayi yang dijumpai adalah 30 peratus hidup manakala 60 peratus meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini