Kes ganja anak Mat Sabu terjawab - Utusan Malaysia

Kes ganja anak Mat Sabu terjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Teka-teki me­ngenai kes anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang disahkan positif ganja selepas diberkas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang pada Janua­ri lalu terjawab apabila dia telah pun didakwa di mahkamah minggu lalu.

Ahmad Saiful Islam, 31, bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini dan dibebaskan dengan jaminan RM3,000 oleh hakim yang mendengar kes ber­kenaan pada 13 Jun lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke dalam badan yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menanti tarikh perbicaraan bulan depan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini.

Pada 6 Januari lalu, ­Kosmo! melaporkan ­Ahmad Saiful ditahan selepas positif ganja dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di sini.

Dia ditahan bersama rakannya berusia 33 tahun yang ketika itu sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan.

Ujian saringan air ­kencing awal dilakukan terhadap tertuduh kemudiannya mendapati dia positif dadah jenis ganja.

Susulan penahanan anaknya itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika itu berkata, dia dan keluarga­nya menyerahkan nasib anaknya kepada pihak berkuasa berdasarkan undang-undang.

“Anak saya sama se­perti anak orang lain juga tertakluk pada proses undang-undang negara,” katanya dalam satu ­kenyataan.

Mat Sabu merupakan Timbalan Presiden Pas sebelum beliau menubuhkan Parti Amanah Negara yang menyertai Pakatan Harapan untuk menewaskan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Mat Sabu, 65, berkahwin dengan Normah Alwi, 65. Ahli politik berasal dari Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu mempunyai empat anak iaitu Nurul Jannah, 39; Nurul Huda, 46; Ahmad Saiful dan Ahmad Ali Hidayati, 28.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini