IPOH – Penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy tidak sepatutnya dikutuk ekoran kealpaannya melepaskan gol ketika Perak kalah 1-3 kepada Pahang dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lalu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ramai yang mengatakan Hafizul Hakim melakukan kesilapan sehingga menyebabkan pertahanan import Pahang, Herold Goulon menjaringkan gol menarik pada jarak lebih 50 meter dalam perlawanan tersebut.
Ahmad Faizal turut memuji jaringan pemain Pahang itu yang disifatkannya ‘satu dalam sejuta’ dan mengakui layak disenaraikan untuk Anugerah Puskas.
“Tapi janganlah kerana jaringan cantik yang terkena kepada Hafizul kita nak terus mengutuk penjaga gol kita sendiri.
“Dia bermain dengan baik dan pasukan Perak secara keseluruhannya bermain dengan baik, cuma Pahang berjaya jaringkan tiga gol,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Hari Raya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Mengenai perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak di sini Sabtu ini, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar yakin Perak mampu mengatasi agregat 1-3 seterusnya layak ke perlawanan akhir.
Namun beliau meminta jurulatih, Mehmed Durakovic mengatasi masalah pada bahagian pertahanan yang mudah dibolosi.
Katanya, paling ketara dalam perlawanan Liga Super menentang pasukan tercorot, Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam.
Dalam perlawanan itu, Perak mendahului 3-0 namun dibolosi dua gol pada 10 minit akhir perlawanan untuk Perak menang 3-2.
“Kita berjaya mempertajamkan bahagian serangan namun kita ada masalah di bahagian pertahanan. Jadi jurulatih harus memperkemaskan bahagian pertahanan untuk perlawanan pada Sabtu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











