BUTTERWORTH – Kerajaan akan menambah sekurang-kurangnya buah 80 lagi alat pengimbas di semua laluan pintu masuk di seluruh negara khususnya bagi mempertingkatkan operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, alat pengesan itu dapat membantu JKDM mengenal pasti dan memproses barangan yang tidak dibenarkan di bawa masuk ke negara ini seperti sisa plastik.
Tambah beliau, pihaknya menerima aduan daripada JKDM yang mengalami kesukaran dalam menjalankan penguatkuasaan berikutan jumlah kontena yang masuk ke negara ini terlalu banyak.
Tambah beliau, pengendalian kontena yang mengandungi sisa plastik itu perlu dilakuka secara berhati-hati kerana melibatkan kesan yang besar ke atas alam sekitar dan kesihatan rakyat.
“Apabila kontena yang membawa sisa plastik ini dibuka untuk pemeriksaan, ia membebaskan gas, toksik dan haba-haba yang berbahaya,” katanya.
“Jadi, timbul masalah kepada JKDM dari sudut penguatkuasaan yang perlu dikaji dengan lebih teliti dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, kementerian alam sekitar dan pihak-pihak lain,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka JKDM negeri di sini hari ini.
JKDM negeri sebelum ini melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 370 kontena berisi sisa plastik dan sampah yang dibawa masuk ke negeri ini menerusi Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini masih tersadai sehingga kini.
Difahamkan, setiap kontena sepanjang kira-kira 16 meter yang membawa muatan plastik dan sisa sampah sehingga 28 tan itu diimport di bawah kod palsu dan tiada lesen import (AP).
Modus operandi pihak membawa masuk kontena mengandungi sisa sampah dan plastik kotor itu adalah mengisytiharkannya sebagai barangan lain seperti bahan kitar semula dan plastik bersih untuk kegunaan industri.
Pemeriksaan JKDM negeri turut mendapati kebanyakan kontena itu berasal dari Kanada, Belgium, Jerman serta Amerika Syarikat, mengandungi plastik kotor dan sisa sampah yang diimport sebagai bahan kitar semula. – UTUSAN ONLINE











