Kerajaan Pas Kelantan tahu syarikat lombong emas guna sianida - Utusan Malaysia

Kerajaan Pas Kelantan tahu syarikat lombong emas guna sianida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan belum ada rancangan untuk mengharamkan penggunaan sianida dalam aktiviti perlombongan emas di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya bergantung sepenuhnya kepada cadangan agensi bertanggungjawab iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan setakat ini tiada keperluan untuk membuat larangan sedemikian.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedar risiko penggunaan sianida namun keadaan masih terkawal dan kejadian bencana adalah sesuatu yang jarang-jarang berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang ada dalam maklumat kerajaan negeri tentang (syarikat) guna sianida, dan di sinilah perlunya agensi seperti JAS yang peranannya memantau projek-projek supaya tidak langgar peraturan yang bawa kesan negatif kepada alam sekitar dan masyarakat.

“Sebab itu kita sentiasa beri kerjasama kepada agensi penguatkuasa, sebarang tindakan untuk haram bergantung kepada cadangan agensi-agensi terlibat.

“Setakat ini mengikut maklumat yang ada pada kita, masih lagi dalam keadaan yang selamat tetapi jika pada suatu masa agensi merasakan penggunaan (sianida) tidak lagi selamat pada masa itu mereka boleh berikan cadangan dan kerajaan akan buat keputusan berdasarkan pandangan tersebut,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang ingin mengetahui jika kerajaan sedar syarikat lombong emas di negeri ini menggunakan sianida dalam aktiviti perlombongan sedangkan ia berisiko terhadap alam sekitar dan manusia.

Mohd Adhan berkata, penggunaan sianida aktiviti perlombongan yang dikatakan boleh menambah hasil dan kualiti emas kepada 90 peratus bagaimanapun telah diharamkan oleh Parlimen Eropah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini