KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan menyifatkan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ke Kuala Koh, Gua Musang telah membela maruah mereka yang berdepan pelbagai tuduhan liar dalam isu masyarakat Orang Asli suku kaum Batek.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya menghargai penjelasan yang diberikan Dr. Wan Azizah sendiri bahawa aktiviti perlombongan bukan punca penularan penyakit dalam kalangan Orang Asli tersebut.
Beliau berkata, usaha pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan yang melakukan siasatan untuk mengenalpasti punca sebenar tragedi yang berlaku telah berjaya menjawab tohmahan yang dilempar oleh pelbagai pihak termasuk yang bertaraf Menteri.
“Pada peringkat awal banyak pertuduhan dan tohmahan kepada kerajaan negeri yang bertujuan menjatuhkan nama baik dan mempertikai integriti kerajaan negeri tetapi alhamdulillah setelah pihak berwajib termasuk Jabatan Kesihatan, JAS dan Hazmat sendiri turun kita dapati tuduhan-tuduhan itu tidak benar.
“Contoh tuduhan bahawa Orang Asli mati kerana kesan perlombongan haram tetapi daripada kenyataan Hazmat mengatakan air tidak tercemar, diikuti Menteri Kesihatan sendiri dan kemudiannya Jabatan Kimia.
“Paling akhir adalah kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri yang turun sendiri ke kawasan tersebut dan menjelaskan bahawa kematian Orang Asli itu tidak ada sangkut paut dengan aktiviti perlombongan dan pencemaran air seperti didakwa pihak-pihak yang ada kepentingan,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.
Mohd Amar menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Abd Rahman Yunus (Pas-Pasir Tumboh) yang mahu kerajaan mengulas laporan akhbar yang mendakwa perlombongan haram ada kaitan dengan kematian misteri di Kuala Koh. – UTUSAN ONLINE











