Kerajaan negeri nafi tidak peduli, gagal urus isu pencemaran - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri nafi tidak peduli, gagal urus isu pencemaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menafikan tidak ambil peduli dan gagal menangani isu pencemaran terbaharu di Pasir Gudang sejak Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar menegaskan, dakwaan itu tidak benar malah semua agensi terlibat bertungkus-lumus sejak hari pertama kejadian sehingga kini.

“Agensi berkenaan bertungkus lumus membantu pelajar yang mengalami simptom pening, loya dan muntah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk makluman semua, sejak hari pertama pukul 3.39 petang, pihak bomba, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia, Pejabat Kesihatan dan Pejabat Daerah bersama-sama pastikan isu itu ditangani segera.

“Tidak ada satupun agensi kerajaan yang tidak menunaikan bakti dan semua main peranan baik,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persdada) di sini sebentar tadi.

Beliau mengulas kecaman dan kritikan warganet terhadap kerajaan negeri dan agensi terlibat yang didakwa gagal menangani isu pencemaran itu.

Hari ini Pas Johor menyifatkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan lemah dalam menguruskan keadaan bencana di Pasir Gudang.

Khamis lalu, penduduk Pasir Gudang kembali digemparkan dengan insiden pencemaran udara sehingga memaksa kerajaan negeri menutup 475 institusi pendidikan di daerah ini bermula malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Khuzzan berkata, kerjasama semua agensi terlibat membolehkan isu pencemaran dapat dikenal pasti dan dijangka dapat diselesaikan beberapa hari lagi.

“Justeru, saya menangkis anggapan bahawa agensi kerajaan tidak ambil peduli dan kita ambil maklum sejak menerima laporan pada pukul 3.39 petang,” katannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini