KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir sejam selepas kepalanya tersangkut pada jeriji besi pintu rumahnya di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tun Hussein Onn di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Adli Yusof, 20 bulan dikatakan sedang bermain bersama kakaknya sebelum tiba-tiba menjerit akibat gagal mengeluarkan kepalanya daripada jeriji besi tersebut.
Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia sedang menjemur baju di kaki lima sebelum terdengar jeritan anak bongsunya itu.
“Boleh dikatakan sudah menjadi rutin mereka akan bermain di pintu depan itu ketika saya jemur baju, namun tidak sangka hari ini kepala anak lelaki saya itu tiba-tiba tersangkut.
“Saya dengan bantuan jiran cuba untuk mengeluarkan dia (mangsa) namun, tidak berjaya menyebabkan kami menelefon pihak bomba. Syukur dalam tempoh 30 minit pihak bomba mengeluarkannya tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online semalam.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussien Onn, Shaiful Bahrin Samad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.01 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kita bertindak memotong bahagian jeriji besi tersebut menggunakan gergaji besi dan operasi tamat sepenuhnya pukul 1 petang,” ujarnya. – K! ONLINE











