BUAT mereka yang pertama kali mendengar kempen Kereta Untuk Abah, pasti persoalan pertama timbul dalam benak pemikiran masing-masing adalah tajuk kempen itu sendiri?
Kenapa perlu kereta untuk seorang bapa? Namun itulah strategi pemasaran yang digunakan oleh sekumpulan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini bagi menyuntik inspirasi dan semangat orang ramai untuk berbakti kepada orang tua sendiri.
Tidak kira sama ada perniagaan yang dijalankan itu bersifat kecil atau sederhana, pemasaran gabungan atau ‘fusion marketing’, mungkin jarang terlintas dalam minda seorang peniaga kerana mereka sebenarnya lebih cenderung menjalankan perniagaan dan mengaut keuntungan sendiri.
Presiden Kempen Kereta Untuk Abah, Mohd. Aminurasyid Mohd. Fauzi berkata, menerusi jalinan kerjasama 25 buah IKS daripada pelbagai latar belakang perniagaan, kempen itu bukan sahaja satu gabungan unik untuk mengembangkan perniagaan masing-masing, malah dilihat mampu mendidik masyarakat mengutamakan kedua ibu bapa yang telah banyak berjasa.
Katanya, simbolik pemilihan perkataan ‘abah’ sendiri adalah merujuk kepada pengorbanan seorang ketua keluarga yang harus dikenang oleh masyarakat terutama generasi muda untuk tidak mementingkan diri, sebaliknya berusaha membahagiakan kedua ibu bapa dengan menyumbang sebahagian pendapatan yang diperoleh kepada mereka.
“Program yang telah digerakkan selama enam bulan ini adalah strategi pemasaran perniagaan bagi golongan usahawan yang terlibat dalam kempen Kereta Untuk Abah untuk melonjakkan jualan masing-masing.
“Selain itu, dalam masa yang sama, ia menjadi tarikan kepada pelanggan untuk menyertai kempen ini sekali gus membolehkan pelanggan memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah kereta Toyota CHR bernilai lebih RM150,000,” katanya dalam sidang akhbar, baru-baru ini.
Majlis perasmian kempen yang pertama kali diadakan itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Azmi Said dan dihadiri duta Toyota CHR yang juga pelakon terkenal, Fattah Amin.
Selain hadiah utama kereta Toyota CHR, hadiah cabutan bertuah lain yang turut disediakan adalah sebuah motosikal, telefon bimbit, televisyen serta percutian tiga hari dua malam di sebuah destinasi terkemuka dalam negara.
Kempen Kereta Untuk Abah menyaksikan cabutan pertama diadakan pada minggu pertama September 2018 diikuti bulan-bulan seterusnya.
Sebanyak enam cabutan bulanan telah dilakukan dan antara hadiah yang diperoleh pemenang adalah barangan kemas, empat hadiah misteri serta barangan lain.
Mengulas lanjut Mohd. Aminurasyid berkata, pelbagai kelebihan diperoleh daripada gabungan kumpulan usahawan IKS menyertai kempen tersebut termasuk berkongsi kemahiran dan kelebihan yang dimiliki setiap ahli kumpulan.
Jelasnya, strategi pemasaran dan kepakaran dalam bidang perniagaan turut dikongsi bersama bagi menghasilkan pencapaian terbaik dalam bidang perniagaan masing-masing.
Tambahnya, kempen itu juga berupaya menjadi platform terbaik untuk usahawan IKS berkolaborasi, peluang untuk berbincang, membantu dan mengajar sesama usahawan untuk meningkatkan perniagaan.
Menurutnya, bagi menjadikan kempen tersebut menarik perhatian masyarakat, pemilihan nama kempen yang unik dan lain daripada yang lain dilihat mampu memberi daya tarikan kepada orang ramai untuk mengetahui lebih mendalam tentang kempen tersebut.
Sehubungan itu katanya, ahli kumpulan yang menyertai kempen itu memilih perkataan yang boleh menyentuh emosi orang ramai terutama berhubung sumbangan yang boleh diberikan kepada ibu bapa.
Apa yang menarik menurutnya, kempen pada awalnya dirancang dan digerakkan menerusi perkongsian modal sesama sendiri telah mendapat penajaan daripada syarikat permotoran terkenal, Toyota.
“Ketika mula merangka kempen ini, saya berasakan bajet untuk penganjuran ini tidak menelan belanja yang banyak. Jadi, pihak penganjur meminta peserta untuk berkongsi kos yang diperlukan secara sama rata bagi menggerakkan kempen.
“Namun kami sama sekali tidak menyangka syarikat Toyota sudi menaja dan memberi kerjasama untuk bergabung dalam kempen ini. Akhirnya sesuatu yang agak mustahil pada mulanya untuk direalisasikan kini menjadi kenyataan,” katanya.
Tambahnya, melihat perkembangan positif dan impak besar yang diraih dalam kempen yang pertama kali dianjurkan itu, pihak penganjur berminat untuk menganjurkan lagi program yang sama pada masa hadapan termasuk mendapat kerjasama lebih erat daripada pihak yang berminat.
“Selain bakal menetapkan hala tuju yang lebih jelas untuk kempen ini pada masa hadapan, masih terdapat kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki bagi memberi manfaat besar kepada golongan usahawan IKS di negara ini.
“Kami bercadang untuk bawa penganjuran ini kepada pihak berkuasa yang mempunyai ruang yang jauh lebih baik untuk membantu golongan usahawan IKS meningkatkan lagi keupayaan masing-masing dalam bidang diceburi terutama menggunakan kemahiran daripada SME Corp. yang mempunyai pengalaman luas memperkasakan usahawan IKS,” katanya.











