BALING – Keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang meninggal dunia selepas didakwa bermain dengan bapa saudaranya yang menghidap sindrom Down di Kampung Bandar di sini semalam masih terkejut dengan kejadian menimpa mangsa.
Mangsa, Muhammad Azfar Qayyum Md. Said ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapa tirinya kira-kira pukul 1 petang semalam.
Kanak-kanak terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Baling pada pukul 2.20 petang semalam sebelum doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia antara empat hingga lima jam sebelum itu.
Ibu saudara mangsa, Normaizatul Akmar Abdul Aziz, 27, berkata, dia sekeluarga masih terkejut dan bersedih dengan kejadian tersebut.
“Kami sekeluarga langsung tidak menyangka mangsa meninggal dunia selepas dikatakan bermain dengan bapa saudaranya yang merupakan adik saya berusia 16 tahun.
“Ini kerana, hubungan mangsa dan adik saya yang menghidap sindrom Down itu sangat rapat dan mereka sering bermain bersama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bandar di sini hari ini.
Terdahulu, Normaizatul menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang meluangkan masa bertanyakan khabar ahli keluarga mangsa.
Katanya, meskipun menghidap sindrom Down, adiknya merupakan seorang yang penyayang dan sangat menyayangi mangsa.
“Saya difahamkan, mangsa dan adik saya hanya bermain-main di dalam bilik di rumah ini dan mereka dikatakan bermain pedang-pedang menggunakan satu besi,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa dan bapa saudaranya itu sering main bersama dan tidak pernah membawa kepada sebarang kecederaan.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia dengan kesan lebam pada badan dan kepala dipercayai selepas bermain dengan bapa saudaranya yang menghidap sindrom Down di sebuah rumah di Kampung Bandar di sini. – K! ONLINE











