KUALA TERENGGANU – Sambutan Syawal kali ini cukup istimewa buat kira-kira 300 bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang (SMASZAL) di sini apabila mereka dapat bertemu semula kelmarin selepas hampir 21 tahun meninggalkan alam persekolahan.
Bagaimanapun, perjumpaan semula pelajar yang membabitkan lapan kumpulan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara tahun 1998 hingga 2005 itu dibuat dengan cara yang sedikit berbeza iaitu menerusi penganjuran kejohanan futsal.
Pengarah Program, Mohd. Arif Kori berkata, Kejohanan Futsal Mega Gathering Arab Ladang 2019 yang julung kali diadakan secara besar-besaran itu tercetus hasil inisiatif bekas pelajar-pelajarnya yang mahu kesinambungan keakraban semasa zaman persekolahan diteruskan sampai bila-bila ke arah mengukuhkan lagi jalinan persahabatan sesama mereka.
“Alhamdulillah dengan izinNya kita dapat menyatukan lapan kumpulan pelajar SMASZAL di gelanggang Futsal Uptown Jalan Kamarudin pada hari ketiga Syawal, kelmarin.
“Kita percaya konsep ini mampu menarik minat rakan-rakan bukan hanya untuk beriadah dan bermain, bahkan menjadi penyokong kumpulan masing-masing tidak kira senior atau junior. Rata-rata yang datang cukup bersemangat termasuk memakai baju T sebagai tanda sokongan di samping bersorak,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Arif berkata, lebih menarik apabila bekas guru-guru yang mengajar mereka semasa di SMASZAL turut dijemput khas ke kejohanan itu iaitu ‘cikgu Azmi Jusoh’ dan ‘Ustaz Amir Hussain’ yang secara tidak langsung mengubati kerinduan mereka dan bersama-sama mengimbas kembali memori persekolahan.
Katanya, kumpulan Batch 2005 muncul pemenang dalam kejohanan futsal itu dan membawa pulang piala, medal dan hamper manakala tempat kedua dimenangi Batch 2002, ketiga (Batch 2000) dan keempat (Batch 1999).
Menurutnya, SMASZAL merupakan antara sekolah agama tertua di Terengganu dan di negara ini, justeru bagi mengabadikan nostalgia tersebut pihaknya turut menghasilkan baju T edisi khas bertulisan jawi ‘Ladang’ dengan latar belakang bangunan kayu sekolah.
“Kita mahu jenamakan semula alumni SMASZAL dengan nama Arab Ladang Legends.
“Terima kasih kepada semua termasuk rakan penaja yang membantu dan memberi kerjasama baik dalam penganjuran pertama ini semoga kita berjumpa lagi di lain program. Sokongan sesama kita amat penting bagi mengukuhkan lagi persaudaraan dengan Arab Ladang Legends,” katanya. – UTUSAN ONLINE











