KUALA LUMPUR – Kejohanan Persekutuan Karate Asia (AKF) di Uzbekistan bulan depan akan menjadi medan penentu sebelum skuad negara ke Sukan SEA 2019 dimuktamadkan oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).
Pengurus pasukan, V. Whickrama Suriya berkata, itu adalah kayu pengukur terakhir yang telah ditetapkan untuk memilih atlet negara ke temasya dwi-tahunan itu sebelum nama mereka diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk diluluskan.
“Senarai panjang nama atlet yang kita cadangkan telah pun diserahkan kepada MOM tetapi ia akan disenarai-pendekkan kepada sekurang-kurangnya 15 orang sahaja yang akan kita bawa ke Filipina.
“Ini akan dilakukan berdasarkan prestasi mereka di AKF yang akan berlangsung dari 15 hingga 22 Julai nanti,” kata Suria ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi mempersiapkan atlet karate negara menghadapi AKF tambahnya, skuad negara yang dibimbing Ali Reza Soulaymani akan berkampung di Iran mulai 2 Julai sebelum terus bertolak ke Uzbekistan selepas itu.
“Kita menggunakan kesempatan ini memandangkan Ali Reza juga adalah dari Iran. Jadi ia akan memudahkan atlet kita untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan iklim di sana dan Uzbekistan lebih awal,” tegasnya.
Skuad karate negara akan menyertai sembilan acara di Sukan SEA 2019 di Filipina dengan meletakkan sasaran untuk membawa pulang empat emas daripadanya iaitu menerusi dua acara kata dan dua acara kumite.
Karate ketika Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur sebelum ini berjaya menyumbang tujuh emas, dua perak dan empat gangsa daripada 16 acara yang dipertandingkan.
Bagaimanapun dengan Filipina mengurangkan acara kepada sembilan sahaja, ia tidak memberi kelebihan kepada Malaysia untuk mengulangi atau menang lebih banyak emas kali ini.
Sukan SEA 2019 dijadual berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember ini.- UTUSAN ONLINE











