Kantoi sembunyi dadah dalam gula-gula getah - Utusan Malaysia

Kantoi sembunyi dadah dalam gula-gula getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Taktik licik seorang pengedar dadah menyembunyikan dadah seberat 5.5 gram di dalam bekas gula-gula getah gagal selepas perbuatannya itu dihidu pihak polis dalam serbuan di sebuah rumah kongsi di Ladang Sapang, Kunak, Sabah dekat sini awal pagi tadi.

Serbuan itu dilakukan polis pada pukul 4 pagi melalui operasi Op Sarang berjaya menahan suspek yang berusia 23 tahun.

Portal berita Sabah News Today melaporkan, Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Baharin Md. Tahir berkata, Op Sarang berkenaan dijalankan oleh sepasukan 13 anggota dan seorang pegawai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata hasil maklumat yang diperoleh pihaknya menjalankan serbuan di sebuah rumah kongsi yang didiami suspek di ladang berkenaan.

“Pihak polis terpaksa memecahkan pintu rumah suspek setelah enggan memberi kerjasama untuk membuka pintu rumah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemukan sembilan peket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dan 10 kertas timah gula-gula getah berisi dadah yang sama. Jumlah keseluruhan bernilai RM850” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Baharin memberitahu, hasil siasatan mendapati suspek adalah pengedar dadah di sekitar ladang daerah Kunak.

“Suspek juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warganegara Indonesia. Suspek ditahan dan barangan dirampas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) c Akta Imigresen 1959,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini