Kanak-kanak lelaki maut dilanggar kereta - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lelaki maut dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika mangsa melintas jalan di Jalan Sungai Petani-Baling di Tanjung Puteri, Kuala Ketil, Baling dekat sini kelmarin.

Mangsa, Nurdanish Afiq Norhazril yang cedera parah pada kepala dan anggota badan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan.

Kanak-kanak itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.20 malam semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguat kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, Isnin lalu itu berlaku apabila mangsa yang mahu ke sebuah kedai serbaneka 24 jam melintas jalan bersama seorang lagi kanak-kanak.

“Mangsa yang melintas jalan kampung tersebut bagaimanapun dilanggar sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang gagal mengelak kerana jarak terlalu dekat.

“Seorang lagi kanak-kanak terselamat kerana dia sempat melintas jalan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada operasi Op Selamat 15/2019 di Lebuhraya Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan lain dikejarkan ke HSAH sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 10.20 malam semalam.

“Pemandu kereta berusia 31 tahun ditahan untuk diambil keterangan dan ujian air kencing didapati negatif manakala keretanya turut ditahan untuk ujian Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom),” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini