KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan agar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk menunjukkan keikhlasan beliau dalam menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Presiden PKR itu.

Dominic berkata, Dr. Mahathir dan Anwar harus faham bahawa peralihan kuasa untuk jawatan Perdana Menteri bukan sekadar masalah antara kedua-dua mereka tetapi ia merupakan isu utama yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
“Sekiranya Dr. Mahathir merancang untuk terus kekal, ia pasti akan menjejaskan tahap keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia dan seterusnya pembangunan ekonomi negara masa depan.
“Peralihan kuasa tidak hanya memberi kesan kepada keyakinan pelabur, tetapi juga secara beransur-ansur menyebabkan politik negara menjadi tidak stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Dominic, terdapat pandangan yang berbeza dalam mengenai rancangan penggantian.
“Anwar mendakwa mempunyai keyakinan terhadap Dr. Mahathir, tetapi ahli jawatankuasa pusat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr. Rais Yatim mendakwa Dr. Mahathir berminat menjadikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggantikannya sebagai Perdana Menteri seterusnya.
“Gerakan sebagai parti politik bebas yang bertanggungjawab tidak mahu melihat perbalahan dalaman Pakatan Harapan untuk jawatan Perdana Menteri kerana ini akan menjadikan keadaan politik negara tidak stabil, menjejaskan pembangunan ekonomi negara, akhirnya rakyat akan menderita,” katanya. – UTUSAN ONLINE











