PASIR GUDANG – Kerajaan negeri perlu melakukan kajian di negara-negara maju yang mempunyai kawasan industri terlibat penggunaan bahan kimia termasuk cara mereka mengurus, memantau dan langkah pencegahan pencemaran sebelum dipraktikkan di daerah ini.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu perlu sebagai persediaan awal bagi mengelakkan bencana atau pencemaran alam sekitar berlaku lagi kerana perkara tersebut boleh dielakkan jika kaedahnya betul.
“Jangan tunggu bila ada pencemaran baru nak bertindak. kita mesti ambil tindakan proaktif pastikan ianya tidak berlaku. Kita boleh lihat dan boleh tahu kilang-kilang yang ada kaitan dengan penggunaan bahan kimia melalui permohonan atau ketika mereka memperbaharui lesen.
“Pencemaran di Pasir Gudang kerana banyak jumlah kilang terlibat dengan bahan kimia. Sepatutnya kerajaan proaktif kaji cara-cara pemantauan dibuat adakah menepati keadaan di Pasir Gudang dan sama standardnya khususnya negara maju yang memiliki kilang-kilang seperti ini,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Hotel Amansari, Bandar Seri Alam di sini sebentar tadi.
Mohamed Khaled berkata, seharusnya kerajaan negeri sudah bersiap sedia apabila pencemaran kedua berlaku di daerah ini namun kaedah mereka menanganinya masih sama dan tidak belajar daripada kesilapan pertama semasa menguruskan pencemaran Sungai Kim Kim.
“Apabila krisis pertama berlaku, perkara pertama yang berlaku adalah maklumat kurang, jadi rakyat dalam keadaan tertanya-tanya. Jadi apabila berlaku krisis kali kedua patut beri perhatian dengan mengeluarkan maklumat segera dan tepat. Media pun tertanya-tanya dalam hal ini.
“Ada juga yang tanya saya apa yang sedang berlaku. Semua ini mengulangi dan tidak belajar daripada kesilapan sebelum ini. Kalau boleh bencana besar seperti ini mestilah diuruskan dengan baik dan berkesan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











