KOTA BHARU – Hasrat Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) untuk menggunakan khidmat perancang tengah berpengalaman Mohd. Badhri Radzi atau Piya akhirnya ‘termakbul’.
Ini berikutan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selaku majikan lama pemain berkenaan meluluskan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) bagi membolehkannya menyarung jersi Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC).
Presiden KUFC Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, berita gembira itu diterima pihaknya tengah hari tadi menerusi surat yang dihantar kepada pihak pengurusan pasukan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada KAFA diatas kerjasama yang diberikan ini.
“Ia amat bermakna buat kami dalam mengharungi baki saingan Liga M3 musim ini,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Piya terkilan dengan sikap KAFA yang hanya mahu meluluskan SPN sekiranya tonggak berusia 37 tahun itu melupuskan tunggakan hutang selama dua bulan ketika menyarung jersi Kelantan bagi musim 2019 sebelum ini.
Che Abdullah memberitahu, kehadiran Piya dijangka memperkasakan lagi KUFC dalam memburu slot ke Liga Perdana 2020.
Katanya, KUFC berharap ‘aura’ yang miliki Piya mampu menjadi pemangkin dalam merealisasikan hasrat itu.
“Saya amat berharap pengalaman yang dimiliki Piya mampu membimbing pemain-pemain muda untuk kekal fokus dalam mengharungi saingan Liga M3.
“Kita akui pengalaman Piya amat diperlukan oleh KUFC dalam mengharungi baki saingan nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE.











