TAWAU – Sindiket perjudian haram di Sabah dikesan beralih modus operandi dengan melakukan aktiviti tersebut di kawasan kampung yang sukar dijejaki pihak berkuasa.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, sindiket berkenaan melakukan kegiatan perjudian haram dengan masuk jauh ke dalam kawasan kampung yang hanya boleh dilalui dengan motosikal.
“Namun kita akan terus melakukan tindakan membasmi sindiket ini dan tidak akan berkompromi dengan aktiviti perjudian haram di Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tawau di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Asisten Komisioner, Peter Umbuas menerima tugas Ketua Polis Daerah baharu daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Nor Azizulkifli Mansor yang memangku jawatan berkenaan selama dua bulan.
Dalam pada itu,Omar memberitahu, semua ketua polis daerah telah diarahkan untuk melakukan operasi membanteras kegiatan berkenaan di kawasan masing-masing.
“Saya tidak nafikan wujud sindiket perjudian berlesen tetapi kita mesti lakukan operasi setiap hari, memantau perjudian haram, pusat hiburan termasuk kafe siber.
“Sehubungan itu, kerjasama orang awam dalam memberikan maklumat berkaitan judi haram kepada polis sebagai membantu keberkesanan polis membasmi sindiket perjudian haram di Sabah,” jelasnya.
Tambah Omar, pihaknya turut menerima baik cadangan kerajaan negeri yang mahu membatalkan lesen perjudian di Sabah.
“Ketika ini terdapat 43 premis perjudian berlesen yang tertakluk kepada peraturan dan syarat yang ditetapkan kerajaan,” katanya.-BERNAMA











