GUA MUSANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri meneruskan talian WhatsApp khas untuk orang ramai melaporkan kesalahan pemandu di jalan raya.
Pengarahnya, Mahasan Mustapa berkata, langkah itu dilakukan selepas maklum balas positif daripada pengguna ketika memperkenalkan talian tersebut pada musim Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Katanya, perkara itu membuktikan setiap pengguna jalan raya mengambil perhatian serius terhadap peraturan serta undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kita melihat sambutan amat baik dan kita akan meneruskan talian WhatsApp bagi membendung kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas Op Bersepadu di Stesen Penguatkuasa Mentara, di sini, hari ini.
Op Bersepadu selama dua jam bermula pukul 10 pagi itu dilakukan JPJ bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK).
Op Bersepadu itu pula lebih fokus kepada kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan yang melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.
Tambah Mahasan, berdasarkan rekod 200 kes kesalahan jalan raya dikeluarkan saman menerusi talian itu.
Katanya, kebanyakan kesalahan itu melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar dan memotong menggunakan lorong kecemasan.
“Pengadu boleh mengemukakan aduan di talian 0134498997.
“Setiap aduan melalui WhatsApp itu diuruskan ibu pejabat JPJ Kuala Lumpur dan kita anggap berkesan untuk mendidik pengguna Jalan raya untuk mengikut peraturan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











