KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan pengeluaran Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP) bagi pembinaan bas baharu bermula 1 Julai hadapan.
JPJ dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan pengeluaran sijil PPP itu merupakan satu usaha kerajaan ke arah mengamalkan pendekatan ‘self certification’ dan ‘self regulation’ dalam industri pembinaan bas.
“Pelaksanaan ini akan bermula pada 1 Julai depan di peringkat pembinaan badan bas dan sehubungan itu setiap bas yang siap dibina adalah diwajibkan untuk memiliki perakuan tersebut.
“Pendekatan ini mampu mengaplikasikan peraturan United Nation Regulation (UNR) yang telah dikuatkuasakan oleh pihak JPJ bersama pihak industri pengeluar bas dalam memastikan bas yang dibina lebih diyakini tahap keselamatannya,” ujar kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan itu, pelaksanaan pengeluaran sijil PPP tersebut adalah tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 66(1)(a), 66(1)(d), 66(1)(pp), 66(1)(oo) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 9, 9A, 137 Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Pelaksanaan) 1959.
“Dua aspek utama yang ditekankan sebelum pengeluaran sijil PPP adalah pembinaan struktur utama badan bas yang perlu mematuhi URN 66 dan pemasangan tempat duduk penumpang harus mematuhi UNR 80.
“JPJ sentiasa komited dan memberi keutamaan dalam membentuk persekitaran jalan raya yang selamat kepada pengguna jalan raya,” katanya. – K! ONLINE











