SEREMBAN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan akan menutup pusat jagaan warga emas di Seremban 3 di sini yang didakwa melakukan pengabaian dan penderaan kepada penghuninya sejak dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon memberitahu, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Pusat Jagaan 1983 (Akta 506).
“Siasatan terhadap pusat jagaan warga emas itu telah dilakukan oleh JKM pada 17 Jun lalu.
“Hasil siasatan, pihak JKM negeri akan mengambil tindakan penguatkuasaan penutupan pusat jagaan sehingga suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan perlu atau notis selanjutnya di bawah Akta 506,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Pada Isnin lalu, dakwaan warga emas di sebuah pusat jagaan di Seremban 3 diabaikan dan didera seorang penyelia wanita tular dalam media sosial.
Mereka didakwa dipukul, diikat dan dipaksa minum air kencing, malah jumlah kematian warga emas di pusat itu dikatakan agak mencurigakan.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa JKM tidak telus dalam menyiasat kes pengabaian dan penderaan seperti didakwa seorang waris penghuni pusat jagaan berkenaan hari ini.
Katanya, jabatan itu telah mengambil tindakan dan siasatan berhubunng aduan berhubung perkara itu pada 18 November 2018 mengikut peraturan Pusat Jagaan 1993.
“Malah maklum balas bagi setiap persoalan atau dakwaan secara bertulis telah diberikan kepada pengadu,” katanya.
Seorang wanita, Noni, 34, hari ini mendakwa, JKM gagal mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuatnya tahun lalu selepas neneknya berusia 90 tahun dipercayai diabaikan semasa tinggal di pusat itu antara tahun 2017 hingga 2018. – UTUSAN ONLINE











