SHAH ALAM – Kes penipuan berkaitan jenayah siber di negara ini mencatatkan jumlah kerugian sebanyak RM153 juta bagi tempoh lima bulan tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, jumlah itu adalah kira-kira 38 peratus daripada keseluruhan kerugian yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu RM398.6juta.
Katanya, lebih membimbangkan beliau adalah peningkatan mendadak penipuan e-kewangan yang merupakan salah satu daripada jenayah siber
“Saya dimaklumkan bahawa kerugian daripada penipuan e-kewangan pada tempoh Januari hingga Mei tahun ini berjumlah RM40.7 juta yang melebihi kerugian keseluruhan tahun lalu sebanyak RM40.5 juta.
“Bayangkan kerugian selama lima bulan tahun ini sudah melebihi kerugian selama 12 bulan tahun lalu. Ini satu perkembangan yang amat menggerunkan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini.
Justeru, beliau yang merupakan Pengerusi MCPF mahu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti dalam usaha meningkatkan pencegahan jenayah penipuan e-kewangan ini.
Wan Azizah menegaskan MCPF juga perlu memainkan peranan meningkatkan kesedaran berkaitan jenayah dan langkah-langkah berkesan dalam mencegah jenayah yang semakin mencabar kini.
“Kita amat serius dalam meningkatkan pencegahan jenayah sebelum sesuatu jenayah itu berlaku yang menyukarkan dari segi mencari penjenayah dan menghadapi proses mahkamah dan bukti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui kerajaan berdepan cabaran untuk menyelesaikan kes jenayah tertentu disebabkan kekurangan bukti.
“Ada kes jenayah yang ada masalah untuk proses mahkamah kerana kekurangan bukti seperti kita lihat dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya. – K! ONLINE











